Gempa bumi Turkiye: Ibu maut dalam genggaman tangan anak

0
158

RUTIN hidup pada setiap hujung minggu, Hibah Aslan, 30, yang mengetuai misi menjamu makanan di pusat komuniti warga Syria yang menetap di Turkiye berubah selepas berlaku gempa bumi di negara itu baru-baru ini.

Dia yang merupakan seorang chef di sebuah hotel di bandar Antakya bertanggungjawab bagi memastikan insan senegara, terutamanya kanak-kanak mendapat nutrisi yang lengkap.

Ini kerana kebanyakan warga Syria yang menetap di negara ini merupakan keluarga yang susah, diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun segalanya berubah 360 darjah apabila Hibah pula menerima bantuan makanan ekoran kecederaan patah kaki kanan selepas dihempap siling batu rumahnya dalam tragedi gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter di bandar ini pada 6 Februari lalu.

Hibab kini terpaksa berlindung di Persatuan Bantuan Sosial dan Perpaduan Hama yang dijadikan tempat perlindungan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Bagi Hibah, kecederaan yang dialami tidaklah seberapa melainkan rasa sedih yang teramat selepas ibu yang merupakan satu-satunya ahli keluarga di Turkiye terkorban dihempap dinding rumahnya di tingkat dua bangunan lima tingkat.

“Saya sangat terkilan kerana sebelum itu saya sempat memegang tangan ibu untuk melarikan diri selepas bangunan kediaman kami bergegar.

“Ketika berlari menuju ke muka pintu, dalam sekelip mata dinding dan siling rumah runtuh. Ibu tidak dapat menyelamatkan diri dan terkorban dalam runtuhan.

“Cuma perkataan ‘Allah selamatkan anakku’ yang diucapkan ibu masih terngiang-ngiang di telinga saya. Ketika itu tangan ibu masih menggenggam tangan saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Hibah sebelum itu menerima rawatan kecemasan daripada pasukan Task Emergency Medical Service (TEMS) selepas kakinya mula membengkak.

Bercerita lanjut Hibah berkata, selepas diselamatkan jiran dia dikejarkan ke hospital dan dikeluarkan selepas lima hari menerima rawatan.

“Saya tidak dapat melihat jenazah ibu saya. Tidak dapat untuk mengucup dahinya buat kali terakhir. Tidak dapat memegang tangannya buat kali terakhir dan tidak dapat mengiringinya ke liang lahad,” ceritanya sedih.

Media bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here