Walaupun akaun dibeku, BERSATU mampu menang PRN

0
157

BERSATU yakin menang lebih banyak kerusi di enam buah negeri yang akan mengadakan pilihan raya walaupun akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau mengakui langkah pembekuan itu telah membataskan pihaknya untuk bergerak dan berkempen dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Mei ini.

Namun beliau menegaskan, pengalaman kekurangan dana ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah memberi banyak pengajaran kepada BERSATU untuk bergerak dengan kekuatan sedia ada dan akhirnya berupaya merampas kerajaan negeri dan kerajaan Pusat daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

“Akaun BERSATU telah lebih sebulan dibeku, kita akui ia memberikan kesan kepada parti terutamanya untuk membayar gaji kakitangan, sekarang kita tidak boleh buat apa-apa. Malah menyukarkan kami bergerak dengan lebih efektif dalam PRN akan datang.

“Namun pengajaran PRU14 telah memberi banyak pengalaman kepada kita untuk menggunakan kekuatan sedia ada. Bayangkan pada itu, kita cat sendiri bendera BERSATU, tetapi kita mampu menang dan bentuk kerajaan. Tidak mustahil dengan momentum sokongan rakyat berterusan dalam PRU15, insya-Allah kita boleh menguasai banyak kerusi khususnya di Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, penjelasan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen semalam yang menegaskan beliau tidak terbabit rasuah merupakan suatu mesej kepada umum bahawa segala tuduhan adalah satu fitnah dan pembohongan.

Jelasnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga menggunakan lafaz ‘Wallahi’ bahawa beliau tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan keluarganya.

“Ini satu mesej yang rakyat perlu lihat, bahawa penafian Presiden BERSATU ini merupakan satu tuduhan bukan-bukan. Sekejap tuduh seleweng RM600 bilion. Lepas itu tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta pula,” katanya, lapor Berita Bersatu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here