Bung wajar berundur, kata penganalisis politik

0
165

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin wajar berundur dari arena politik negeri itu selepas gagal dalam cubaannya menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Penganalisis politik, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, adalah wajar bagi Bung berada dalam tempoh bertenang kerana cubaan itu bukan sahaja menjejaskan imejnya, malah memberi kesan terhadap UMNO Sabah.

“Bagi UMNO Sabah memperbaiki hubungannya (dengan Gabungan Rakyat Sabah), jelas Bung tidak boleh berada di barisan hadapan dalam kerajaan perpaduan Sabah, jadi orang lain perlu menggantikannya.

“Ini bukan berkisar (Bung) kena disingkirkan, namun lebih kepada melakukan kompromi politik untuk semua pihak berbaik-baik semula,” katanya lapor FMT, hari ini.

Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) yang berkata, Bung mesti menghormati keputusan dibuat pimpinan pusat walaupun BN Sabah mempunyai autonomi.

Bung katanya, perlu bersabar dan merancang langkah seterusnya susulan keputusan pimpinan Pusat sekiranya beliau mahu membuat kebangkitan semula dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan tiga tahun lagi.

Pada Ahad, BN mengumumkan gabungan itu menyokong Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah dan melantik Timbalan Ketua BN Sabah, Yakub Khan mewakili gabungan itu berbincang dengan kerajaan perpaduan negeri.

Perubahan hala tuju gabungan itu dibuat selepas Bung gagal menjatuhkan Hajiji daripada terus menerajui pentadbiran selepas mengumumkan BN negeri menarik sokongan terhadap pengerusi GRS itu.

Bagaimanapun, cubaan Bung yang turut disokong Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan wakil rakyat Bebas, gagal selepas Hajiji membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti wakil rakyat.

Bung kemudian digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri kesan rombakan Jemaah Menteri dilakukan Hajiji.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Sabah Malaysia, berkata, menamakan Yakub sebagai wakil BN berunding dengan kerajaan negeri jelas menunjukkan Bung secara rasmi dipinggirkan walaupun kedudukannya sebagai ketua gabungan itu di Sabah.

“Sejak Bung dicop sebagai dalang di sebalik rampasan kuasa, BN memilih Yakub demi meredakan ketegangan dan mengelak timbul keraguan dalam melakukan sebarang rundingan pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Lee berkata, Bung tidak akan kehilangan jawatannya sebagai Pengerusi BN negeri hanya kerana beliau bukan lagi Timbalan Ketua Menteri.

Walaupun jawatan itu akan memberi kelebihan kepada Bung, beliau berkata, itu juga bergantung sama ada penyokongnya boleh memenangi jawatan di bahagian masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here