Siasatan SPRM: Kerajaan PH-BN sedang main politik balas dendam

0
166

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpendapat kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sekarang ini sedang membalas dendam politik terhadap musuh-musuh mereka.

Pada masa sama beliau turut menyambut baik usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, termasuk langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang bekas Menteri Kewangan.

Namun, Ketua Penerangan Bersatu itu turut berharap SPRM juga menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Kewangan ketika era pentadbiran BN dahulu, serta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kelmarin media melaporkan bahawa seorang Menteri Kewangan yang kini berumur 84 tahun telah disoal siasat oleh SPRM. https://www.agendadaily.com/isu-semasa/daim-kah-bekas-menteri-kewangan-dipanggil-sprm-isu-pandora-papers/

“Saya menyambut baik ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah. Sebab itulah semasa YB Taiping berucap dalam Dewan Rakyat petang semalam, saya mencelah dengan satu cadangan.

“Saya mencadangkan SPRM juga menyiasat seorang lagi bekas Menteri Kewangan yang hari ini telah berumur 75 tahun dan telah kembali memegang jawatan Menteri Kewangan sambil menjadi Perdana Menteri. Namanya Anwar Ibrahim.

“Nampaknya hobi kerajaan hari ini ialah membalas dendam kesumat politik.

“Maka SPRM perlu juga menyiasat adakah berlaku salah laku semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan dulu dalam pemberian saham kepada bapa dan adiknya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (15 Februari 2023).

Semalam, media memetik sumber sebagai berkata SPRM telah menyoal siasat seorang bekas Menteri Kewangan yang kini berusia 84 tahun, susulan pendedahan ‘Pandora Papers’, melibatkan berbilion-bilion ringgit simpanan dalam akaun pesisir.

Pandora Papers adalah laporan yang melibatkan kira-kira 600 wartawan daripada media termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian – dikeluarkan pada Oktober 2021, dan berdasarkan kebocoran dokumen daripada 14 syarikat perkhidmatan kewangan di seluruh dunia.

Media utama memetik sumber bahawa bekas Menteri Kewangan dan penasihat kerajaan itu dipanggil SPRM pagi semalam (13 Februari 2023) untuk menjelaskan aliran wang 12 syarikat luar pesisir yang dimilikinya dan keluarganya.

“Difahamkan SPRM sedang menumpukan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan sama ada aset dan pelaburan yang dilakukan pemimpin dan keluarganya di luar negara adalah hasil daripada projek kerajaan,” kata sumber itu menurut Agendadaily.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata SPRM juga perlu menyiasat pengakuan Zahid bahawa dia telah menerima saham hasil pertolongan Anwar.

“Adakah peristiwa ini merupakan rasuah politik untuk mendapatkan sokongan Zahid Hamidi sejak dari waktu itu lagi hinggakan melahirkan Zahid Hamidi yang sujud kepada Anwar hari ini?

“Yang nyata, inilah dia nepotisme. Memberi saham dan jawatan kepada bapa, adik, isteri, anak dan rakan,” katanya lagi.

Beliau berkata Anwar kini memusatkan kuasa kepada dirinya sendiri dengan memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Berapa banyak lagi amalan nepotisme rahsia yang dilakukan apabila kuasa dipusatkan sebegitu cara?,” soal beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here