3 beradik termasuk 2 bergelar Datuk tidak mengaku salah cederakan ibu tiri

0
215

TIGA beradik termasuk dua daripadanya bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Rembau, hari ini, atas pertuduhan mencederakan ibu tiri mereka, pada Ogos tahun lalu.

Mereka yang juga ahli perniagaan, Datuk Kamarul Halim Muhamad Sharip, 50, Datuk Kamarul Nizam Muhamad Sharip, 55, dan Muhamad Fairuz Muhamad Sharip, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Kartini Kasran selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berita Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu tiri mereka yang berusia 42 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Balai Undang Rembau, di Rembau kira-kira pukul 3.30 petang 23 Ogos 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Semua tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly mencadangkan kepada mahkamah supaya jaminan tidak ditawarkan kepada semua tertuduh.

Bagaimanapun, Husni berkata, jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan menawarkan RM10,000 kerana kes membabitkan kesalahan wajib penjara, selain mangsa adalah wanita, manakala semua tertuduh adalah lelaki.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan setiap penjamin warganegara dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga prosiding kes selesai.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 22 Mac depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here