Blok PN penuh, blok kerajaan di alam ghaib – Wan Saiful

0
230

DAKWAAN Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkaitan tiga pemimpin utama dari blok pembangkang tidak hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 sebelah pagi adalah tidak benar.

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, tiga pemimpin utama iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada dalam dewan.

Malah Ahli Parlimen Tasek Gelugor tersebut mendakwa, kerusi di blok kerajaan pada sebelah petang kebanyakannya kosong.

“Ada (Muhyiddin, Hamzah, Abdul Hadi) dalam dewan. Yang kosong sekarang (sesi petang) semuanya di blok kerajaan.

“Blok PN penuh. Blok kerajaan di alam ghaib,” katanya pada Selasa, lapor Berita Bersatu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Chean Chung mendakwa tiga pemimpin utama PN termasuk Ketua Pembangkang tidak menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 pada sebelah pagi Selasa.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa beberapa pemimpin tersebut antaranya Hamzah Zainuddin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang.

Chean Chung turut mempersoalkan adakah kesemua pemimpin tersebut lebih sibuk sehingga tidak dapat menghadiri Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here