Polis jumpa parang di kandang lembu, motif bunuh kerana cemburu

0
172

POLIS menahan tiga lelaki warga India yang bekerja sebagai pencuci kereta kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, dekat sini pada 11 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki terbabit yang berusia antara 23 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 12 dan 13 Feb lepas di Puchong, Selangor.

Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Aman, Puchong pada 12 Feb kira-kira 8 malam, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 41 tahun serta merampas tiga telefon bimbit.

Pada kira-kira 2.30 pagi hari ini (13 Feb), polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Taman Puchong Prima serta merampas sehelai seluar yang mempunyai kesan darah.

Terdahulu, pada kira-kira 12.05 tengah malam (13 Feb), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Forensik Bukit Aman telah membuat rampasan sebilah parang berhulu hitam berukuran 73 sentimeter di kandang lembu di bawah jambatan lebuh raya lingkaran Putrajaya-Cyberjaya.

Wan Kamarul Azran berkata hasil soal siasat, lelaki berusia 23 tahun itu mengaku terlibat membunuh mangsa, manakala individu berusia 41 tahun pula tidak mengaku terlibat.

“Motif pembunuhan disyaki disebabkan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan teman wanita seorang daripada lelaki yang ditahan,” katanya.

Semua individu yang ditahan itu direman selama tujuh hari hingga Ahad ini (19 Feb) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa yang merupakan penjaga lembu itu telah dijalankan pada 10 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Serdang.

Semalam, polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya itu sebagai kes bunuh.

Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here