‘Malaysia Madani’ Anwar jauh daripada ditunjukkan Rasulullah, kata Hadi

0
151

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah percubaan menipu rakyat dan seluruh dunia.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, ini kerana pendekatannya terlalu jauh daripada makna sebenar yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Menerusi catatan dalam Facebook miliknya, Hadi berkata, penubuhan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempunyai kelemahan ketara, terutama dalam kalangan pemimpin yang didominasi oleh wakil rakyat bukan Islam.

“Kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis.

“Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.

“Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Hadi berkata, Anwar hanya melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan sokongan bukan Islam dan bukannya masyarakat Islam yang mendominasi penduduk negara.

Malah, dakwanya, ketirisan dalam kerajaan hari ini semakin ketara susulan pelbagai pendedahan membabitkan salah laku.

“Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.

“Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka,” katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Hadi dipercayai merujuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here