Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

0
207

POLIS mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.

Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, pihaknya menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu memaklumkan melihat satu mayat terapung di kawasan berkenaan.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian yang merupakan sebuah kawasan bekas tasik dan menemui mayat lelaki terapung.

Beliau berkata, sepasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

“Hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” katanya lapor Berita Harian.

Wan Kamarul berkata, saksi menyatakan kira-kira 8 malam, dia melihat hadapan sebuah kereta berada dalam tasik berkenaan.

Katanya, saksi pergi memeriksa kenderaan itu dan mendapati satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung berpakaian lengkap berada di dalam tasik itu pada jarak kira-kira tiga meter.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan tanah lapang seluas lima ekar di kawasan itu menjumpai sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna hitam terjunam ke dalam tasik,” katanya.

Wan Kamarul berkata, kawasan tasik itu juga tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas dan merupakan tumpuan pemancing.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here