PRN: Bersatu dapat lapan kerusi di DUN Kelantan

0
187

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi keutamaan untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan disandang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md. Nor berkata, Perikatan Nasional (PN) pada asasnya sudah bersetuju memandangkan Pas menang 37 daripada 45 DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau bagaimanapun menegaskan, rundingan pembahagian kerusi belum muktamad dan pintu masih terbuka untuk sebarang kemungkinan.

“Secara dasarnya kita ada persetujuan iaitu Bersatu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi disandang UMNO.

“Pas juga mungkin akan bertanding di beberapa kawasan yang kini tidak diwakili mana-mana wakil rakyatnya seperti bawah Parlimen Gua Musang dan Jeli…itu antara cadangan yang mungkin akan dibincangkan,” katanya seperti dilapor portal FMT.

Pada masa sama, Kamaruddin menegaskan, tidak wujud perasaan tak puas hati dalam kalangan parti komponen PN berhubung pembahagian kerusi DUN Kelantan.

“Kita bertoleransi sesama kita untuk kebaikan bersama dan yang penting kemenangan, supaya kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas sekarang mewakili PN dapat dikekalkan.

“Kita sasar menang semua 45 DUN seperti mana (menang semua) 14 Parlimen pada PRU lepas,” katanya.

Beliau menambah hanya Pas dan Bersatu akan mewakili PN di Kelantan, memandangkan pengundi Melayu membentuk majoriti di sana.

Gerakan pula akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di negeri lain, tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here