Calon SPM maut dalam perjalanan ke sekolah

0
181

SEORANG pelajar tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Taman Intan, Sungai Petani.

Dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi hari ini, mangsa, Lee Yi Long, 17, disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam selepas diberikan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Pelajar lelaki yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ismail, Sungai Petani itu juga sepatutnya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi SPM yang bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 mengekori sebuah kereta Perodua Kancil dari arah Taman Intan menuju ke sekolahnya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki wanita berumur 73 tahun tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pelajar itu gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar wanita itu hingga menyebabkan kedua-duanya jatuh.

“Motosikal mangsa kemudiannya menggelongsor dan merempuh pintu belakang Perodua Kancil sebelum terpelanting dan mengenai pula kereta Proton X70 yang diparkir di bahu jalan,” katanya hari ini.

Menurut Zaidy, pejalan kaki dan pelajar terbabit mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HSAH, manakala kedua-dua pemandu Perodua Kancil dan Proton X70 tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun pada pukul 12.35 tengah hari tadi, pelajar itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang diberikan rawatan di Zon Kuning HSAH.

“Kita sedang mengesan saksi bebas kejadian itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here