Sembilan PATI Indonesia baru mendarat ditahan

0
121

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Batu Pahat menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di perairan Sungai Buntu, Pontian, hari ini.

Pengarah Zin Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan orang awam mengenai sebuah bot berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di perairan Sungai Buntu pada pukul 4.30 petang.

“Bot peronda kilat maritim kemudian diatur gerak ke lokasi sekitar pukul 3.30 pagi. Setibanya di lokasi didapati tiada bot seperti dilaporkan namun pemantauan terperinci di sekitar kawasan berkenaan membuahkan hasil apabila berjaya mengesan PATI tersebut berada di kawasan berlumpur kira-kira
0.16 batu nautika barat daya Sungai Buntu.

“Tiga daripada lima anggota Penguat Kuasa Maritim bertindak terjun dari bot menyusuri kawasan cetek untuk mengejar suspek yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, namun percubaan PATI gagal dan seramai sembilan lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 hingga 67 tahun ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.

Katanya, semua PATI berkenaan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

“Kita akan terus memastikan perairan Johor selamat, aman dan terkawal,” katanya dan memberitahu sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian kecemasan MERS 999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here