Muhyiddin umum Kabinet bayangan PN

0
179

Perikatan Nasional (PN) hari ini memperkenalkan Kabinet bayangan yang bakal melaksanakan tugas semak dan imbang dengan lebih berkesan sekali gus menjadikan gabungan politik itu pembangkang yang berwibawa.

Jawatankuasa Portfolio PN itu diketuai pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ketua ahli Parlimen PN serta dibantu oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku timbalan dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.

Muhyiddin berkata, menerusi jawatankuasa portfolio itu, PN akan mengetengahkan ahli-ahli Parlimen yang berkemahiran dan mempunyai pengalaman ketika berada dalam kerajaan sebelum ini untuk menyuarakan pelbagai isu yang berbangkit.

Berdasarkan senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin diberi portfolio kewangan dan ekonomi; Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan memegang portfolio dalam negeri manakala Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Parlimen Indera Mahkota dipertanggungjawabkan dengan portfolio pendidikan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz memegang portfolio pertahanan manakala Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi memegang portfolio kesihatan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN akan terus memperjuangkan “Dasar Kemakmuran Bersama” yang dibentangkan ketika mentadbir negara sebelum ini.

“Kita akan menguar-uarkan secara berterusan apa yang kita putuskan oleh parti dan kerajaan sebelum ini.

“Ia dibentangkan kerajaan terdahulu yang mana kita bentang RMK-12 dengan terasnya ialah Wawasan Kemakmuran Bersama,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here