Wanita fail kebenaran rayu keputusan mahkamah kembalikan status agama

0
140

WANITA berusia 37 tahun yang terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung status agamanya membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikannya statusnya sebagai seorang Islam.

Peguamnya A.Surendra Ananth, ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya telah memfailkan notis usul semalam, memohon kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk mengembalikan semula status wanita itu sebagai seorang Islam.

Rayuan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan status beragama Islam wanita itu pada 21 Dis 2021.

Dalam kes sivil, pihak litigan mesti mendapat kebenaran daripada mahkamah sebelum boleh memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonannya, wanita itu mahu Mahkamah Persekutuan menentukan empat persoalan undang-undang, antaranya ialah keadaan di mana perintah Mahkamah Syariah tidak sah, bolehkah perintah itu dicabar secara kolateral di Mahkamah Tinggi Sivil dan sama ada Perkara 121 (1A) Persekutuan Perlembagaan adalah terpakai.

Persoalan lain ialah sama ada Seksyen 74(3) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 menghapuskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk menentukan kesahihan pemelukan agama Islam seorang bawah umur.

Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu penganut agama Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

Dia berkata ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Wanita itu mendakwa penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992. Pada tahun berikutnya, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam namun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. Dia kemudiannya berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

Surendra berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 2 Mac untuk pengurusan kes bagi permohonan kebenaran merayu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here