Nurul Izzah tak layak beri nasihat ekonomi, kewangan, kata badan pemikir

0
199

SEBUAH badan pemikir senada dengan kritikan terhadap pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta mempersoalkan kelayakannya bagi jawatan itu.

Dalam kenyataan, Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menegaskan Nurul Izzah, naib presiden PKR, mungkin berkelayakan dalam bidang kejuruteraan dan hubungan antarabangsa, tetapi ia tidak penting.

“Beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang khusus dalam bidang ekonomi atau kewangan. Walaupun ini tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri atau timbalan menteri, ia harus diwajibkan bagi penasihat dan pegawai kanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito.

Semalam, Nurul Izzah menjelaskan beliau tidak akan diberi gaji sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, tetapi Ferlito berkata itu bukan isunya.

“’Harga’ sebenar politik yang dibayar oleh rakyat bukanlah gaji, tetapi akibat daripada dasar yang tidak baik.

“Walaupun berpandukan niat yang baik, dasar yang tidak baik boleh merosakkan sesebuah negara. Kita telah melihatnya dengan harga siling atau larangan terhadap pekerja asing,” katanya lapor FMT.

Ferlito memberi amaran Malaysia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan isu struktur dalam ekonomi memandangkan cabaran bakal dihadapi negara.

Semalam, Anwar mempertahankan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, sambil berkata ia dilakukan berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Anwar berkata, Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis mengkritik langkah itu, dengan berkata pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu “berbau” nepotisme dan akan menarik perhatian yang tidak sepatutnya kepada kerajaan perpaduan apabila ia masih berusaha mengukuhkan kedudukannya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat apa yang Anwar lakukan itu bertentangan dengan desakannya sebelum ini mengenai urus tadbir baik, yang menghalang amalan nepotisme.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here