Dua budak parah kereta dirempuh lelaki disyaki mabuk

0
169

DUA beradik parah selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda dipercayai dipandu lelaki dalam keadaan mabuk.

Nur Hana Humaira yang berusia setahun enam bulan parah pada kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera pada tulang pinggul, manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira yang berusia enam tahun parah pada kepala, mengalami pendarahan pada otak dan bengkak tulang rahang.

Kejadian berlaku di kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing lewat petang semalam ketika kereta jenis Toyota Vios dinaiki keluarga mangsa dari arah Kluang menuju Mersing dirempuh Nissan Navara dari belakang sebelum terbabas dan melanggar pokok pada bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh, mengesahkan kejadian itu dengan dua beradik itu masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, kejadian turut menyebabkan bapa mereka, 34, yang memandu Toyota Vios bersama isteri cedera dan mendapatkan rawatan di Zon Kuning hospital sama.

“Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu Nissan Navara oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian itu dan sampel darahnya telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan toksikologi,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas pemandu Nissan Navara itu untuk siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular klip rakaman video perbuatan suspek yang berjaya dirakam orang awam di media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here