Tuduhan, fitnah terhadap Pas sengaja dicipta musuh menjelang PRN

0
212

Oleh RIZQI ZABIDI

SEGALA tuduhan dan fitnah terhadap Pas kebelakangan ini sengaja dicipta musuh bagi untuk memberi imej buruk kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang kehadiran Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu sengaja dibuat bagi menampakkan Pas serta PN bukanlah sebuah parti yang bersih di mata pengundi.

Justeru katanya, timbul pelbagai dakwaan oleh pihak musuh kononnya parti itu menerima dana tidak sepatutnya termasuk daripada syarikat judi dan tauke-tauke besar untuk dibelanjakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“Bukan setakat berbelanja mewah, malah Pas dikatakn menyogok pengundi hingga jumlah undi diperolehi parti ini tinggi. Kita pun tak tahu dari mana angka mereka dapat tetapi yang pasti, semua itu hanyalah fitnah dilempar terhadap Pas.

“PRN dah dekat, jadi untuk pastikan PRN ini Pas dan PN tidak lagi dilihat sebagai parti bersih, maka mereka cipta pelbagai tuduhan termasuk Pas menerima dana-dana tidak sepatutnya sewaktu hadapi PRU-15,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Dana PRN Pas Kedah di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

Terdahulu Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kedah, Musoddak Ahmad dalam ucapannya memaklumkan, hampir RM500,000 berjaya dikutip menerusi majlis tersebut, termasuk daripada pihak-pihak yang telah menyatakan komitmen namun tidak dapat hadir ke majlis itu.

Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, musuh-musuh politik ketika ini sedaya upaya mencari apakah perkara yang boleh melemahkan kekuatan Pas dan PN.

Keadaan itu katanya disebabkan pengundi pada PRU lalu telah membuat penilaian terhadap parti-parti politik bertanding.

“Kalau sebut Pakatan Harapan (PH), mereka dah tahu latar belakangnya dan kalau sebut Barisan Nasional (BN), lagilah orang kenal. Kedua-dua gabungan itu memiliki pelbagai beban hingga akhirnya rakyat melihat hanya Pas dan PN saja yang bersih serta berintegriti selain mampu memberi tawaran-tawaran hebat juga prihatin,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau mengharapkan supaya majlis tersebut dihebahkan termasuk di media-media sosial sebagai salah satu cara untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang berlegar terhadap PAS terutamanya berkaitan dana diterima.

“Malam ini kita buat secara terbuka sedangkan sebelum ini, sudah berapa banyak kutipan dana dibuat secara sembunyi-sembunyi? Hakikatnya di rumah-rumah terdapat tabung buluh, tin, pelbagai jenis bekas disediakan semata-mata untuk menyumbang kepada parti serta jemaah dan terbukti, sumbangan itulah menyebabkan PAS boleh berbelanja sewaktu PRU lalu.

“Saya anjurkan untuk kita hebahkan majlis malam ini. Biar kita sebut malam ini ada yang mewakafkan tanah, ada sumbangan daripada Yayasan Amal Kedah, wakil rakyat dan Dewan Pemuda untuk memberi galakkan kepada seluruh penyokong agar turut serta memberi sumbangan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here