Geng samun berkumpulan babitkan kerugian lebih RM700,000 di Kedah tumpas

0
229
Polis menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang aktif menjalankan kes samun dan kekerasan yang melibatkan kerugian RM700,000 selepas menahan 14 individu di beberapa lokasi di sekitar negeri ini pada 13 Jan lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata kesemua individu terbabit terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita warga tempatan yang berumur antara 17 hingga 59 tahun ditahan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah kira-kira pukul 6 petang.

“Satu operasi khas telah dijalankan sejak tiga bulan lepas bagi mengesan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan di sekitar Kedah dan negeri yang bersempadan. 

“Hasil siasatan awal mendapati, dengan penahanan kesemua suspek ini, pasukan JSJ berjaya menyelesaikan kes samun yang melibatkan kerugian hampir RM700,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata hasil semakan rekod lampau juga mendapati ada beberapa suspek merupakan orang yang dikehendaki polis melibatkan kes samun dan dadah.

“Polis turut berjaya merampas kembali barangan peribadi milik mangsa samun yang terdiri daripada telefon bimbit, barang kemas, wang tunai serta pelbagai jenis senjata tajam dan tujuh kenderaan yang digunakan untuk melakukan samun. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM200,000. 

“Polis turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang kemas milik mangsa. Polis tidak akan berkompromi dengan penjual atau pembeli barangan kemas yang membantu mana-mana pihak yang dalam pengetahuannya adalah hasil kegiatan jenayah,” katanya. 

Wan Hassan berkata kesemua suspek ini menggunakan modus operandi dengan menyasarkan rumah yang terasing jauh, melakukan samun pada awal pagi secara berkumpulan dan bersenjatakan parang. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Polis berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat bagi membantu memerangi jenayah di Kedah,” katanya.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here