KKM bimbang penjualan ‘Tiger Pod’ semakin berleluasa

0
238

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) kesal berhubung aktiviti mempromosi dan penjualan rokok elektronik atau vape menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara ini sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana produk tersebut direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak serta remaja untuk menggunakannya.

Katanya lagi, lebih membimbangkan, rokok elektronik ini menggunakan cecair bernikotin yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Pada masa sama, pihaknya mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan rokok berkenaan di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

“Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

“Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik/vape, maka peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang lebih bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

“Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaliha menambah, penjualan rokok elektronik yang boleh memudaratkan kesihatan memerlukan kepada kerjasama semua pihak terutamanya agensi kerajaan.

Pada masa sama, ujarnya, pengusaha juga haruslah mengambil sikap pertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilan produk mereka.

“Penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ ini perlu kepada kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

“Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.

“(Ini) bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here