Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

0
134

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 4.51 petang semalam atas pelbagai kesalahan termasuk menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

Ujar beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 13 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar berumur  antara 27 hingga 55 tahun yang mana dua daripada kru warga Myanmar gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta  melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat lesen dengan menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sehubungan itu, tambahnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 100 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.

“Maritim Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here