RoS perlu telus, adil siasat isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan

0
204

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu melakukan siasatan telus selepas dua ahli UMNO yang menghantar aduan supaya semakan dibuat terhadap isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Mahasiswa Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir menegaskan, RoS harus harus menyiasat secara adil isu itu.

“Rentetan daripada notis bantahan yang dihantar dua ahli UMNO kepada pihak RoS tempoh hari perlu diambil tindakan dengan adil seadilnya.

“Perkara ini akan menunjukkan bahawa ROS tidak berpihak kepada individu-individu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk kekal berkuasa.

“Tindakan orang muda yang mahu menegakkan demokrasi dalam UMNO haruslah didokong bukan dihina serta disekat perkara murni begini dilakukan dengan cara yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, dua ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar aduan tersebut kepada jabatan berkenaan yang mendakwa usul itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa, usul itu juga bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan UMNO (Peraturan UMNO).

Mengulas lanjut, Syed Mohd berkata, tindakan dua ahli UMNO itu membuktikan keabsahan pandangan UMNO Johor, Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkenaan Perlembagaan parti yang dilanggar secara terang-terangan.

“Adakah dengan tindakan ROS nanti akan terbongkar kebenaran perosak-perosak demokrasi dalam negara yang takut hilang kuasa,” soalnya yang juga aktivis Pergerakan Pemuda UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here