Chris Hipkins dijangka ganti Jacinda Ardern sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand

0
145

CHRIS Hipkins dipilih secara rasmi sebagai pemimpin Parti Buruh yang baharu menggantikan perdana menteri Jacinda Ardern pada Ahad.

Parti Buruh yang memerintah New Zealand mengesahkan pelantikan Hipkins sebagai perdana menteri negara itu dalam undian yang diadakan susulan keputusan mengejut Ardern untuk berundur daripada jawatan.

Kaukus Buruh yang dianggotai 64 orang sebulat suara mengundi Hipkins, 44, sebagai pemimpin parti yang baharu hari ini tanpa bertanding.

Ardern akan mengosongkan jawatan secara rasmi pada 7 Februari.

Pengundian sebahagian besarnya hanyalah formaliti kerana ahli parti telah sepakat menyokong Hipkins selepas pengumuman peletakan jawatan Ardern bagi mengelak pertandingan kepimpinan yang berlarutan menjelang pilihan raya New Zealand tahun ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan selepas pengundian, Hipkins berkata kerajaannya akan memberi tumpuan kepada “isu kos sara hidup” yang dihadapi rakyat New Zealand yang berpendapatan rendah dan sederhana, serta pemilik perniagaan kecil.

Kaukus dalam pada itu juga mengundi Ahli Parlimen Buruh Carmel Sepuloni sebagai timbalan PM.

Hipkins berkata Sepuloni akan menjadi orang Pasifika pertama memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Menurut laporan Astro AWANI, Hipkins akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-41 New Zealand pada Rabu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here