Antara Mek, Awang dan Kuih bakul dalam masyarakat Tionghua Terengganu

0
217

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SELAMAT menyambut Tahun Baharu Cina diucapkan kepada semua masyarakat Tionghua di negara ini.

Diharap dengan kedatangan tahun Arnab pada kali ini ia akan membawa kemakmuran, keharmonian dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan yang ditempuhi.

Bercakap mengenai Tahun Baharu dan juga kehidupan masyarakat Cina di Terengganu, sejak dari dahulu lagi kebanyakan mereka tinggal dan hidup berjiran dalam komuniti bersama orang Melayu.

Sebab itulah, kaum Cina dahulu amat sukar untuk dibezakan dengan orang Melayu yang tinggal di kebanyakan kampung di negeri ini.

Hal ini kerana selain tinggal di rumah bercirikan Melayu berdindingkan kayu, rata-rata kaum tersebut terutama dari golongan ‘Cina Peranakan’ turut mengamalkan adab dan budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka.

Cina Peranakan Terengganu ketika menjayakan Festival Mek Kebaya Terengganu

Ia termasuklah dari segi percakapan, berpakaian dan juga pemakanan.

Sekitar tahun 1960an dan 1970an dahulu, terdapat 10 keluarga Cina yang tinggal di kampung penulis iaitu di Pantai Seberang Marang dan juga kampung berhampiran seperti Tanjung, Bukit Gasing, Rhu Muda dan Bandar Lama Marang.

Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan kedai runcit dan ada juga yang membuat ikan kering.

Kehidupan mereka boleh dikatakan cukup mesra serta aman damai bersama kelompok masyarakat Melayu.

Apa yang menarik apabila ketua keluarga kaum Cina terbabit turut dikenali dan digelar dengan nama Melayu seperti Mek, Awang, Minah dan Man oleh penduduk kampung.

Kaum Cina dahulu amat sukar untuk dibezakan dengan orang Melayu yang tinggal di kebanyakan kampung di Terengganu

Selain itu, di kampung jiran penulis pula ada juga orang Cina dipanggil dengan gelaran Mek Panjang dan ada pula Mek Lim.

Gelaran nama-nama ini sebenarnya cukup sinonim dalam kehidupan masyarakat Cina yang tinggal dalam komuniti orang Melayu.

Begitulah antara kisah kehidupan kaum Cina dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang cukup hebat perpaduannya dan sentiasa hidup dengan penuh harmoni dan tolong monolong.

Penulis masih ingat, semasa usia kanak-kanak antara rakan-rakan sepermainan adalah terdiri daripada anak-anak Cina Man dan Minah seperti Boo Tuan, Boo Ling, Boo Tu, Boo Bo dan Boo Chen.

Identiti dan budaya kehidupan mereka tidak seperti orang Cina kerana semuanya berkain batik dan pelikat disamping memakan budu, ulam kampung serta belacan.

Kuih Bakul merupakan juadah utama Cina Peranakan Terengganu ketika menyambut Tahun Baharu Cina

Kami mandi laut main sorok-sorok, kejar mengejar, galah panjang, gim, tiup getah, petik mata, tol nusuk dan bola cetong bersama anak-anak kampung yang lain.

Setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina, mereka akan meminta pertolongan daripada jiran Melayu tolong membuatkan Kuih Bakul.

Kemudian kuih-kuih tersebut turut diagihkan ke rumah jiran Melayu yang lain.

Bila dikenang semula kisah lampau, betapa hebatnya kaum Tionghua khususnya Cina Peranakan di Terengganu sehingga nama pun digelar Mek dan Awang.

Mengikut sejarah, gelaran ini dikatakan sudah mula bertapak di Terengganu sejak abad ke-16 lagi.

Cina Peranakan Terengganu gemar memakai baju kebaya berbanding pakaian tradisi mereka, Cheongsam

Golongan Cina peranakan ini dikatakan terbentuk daripada satu golongan etnik agak unik dan istimewa di mana mereka sentiasa mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu termasuk dari segi loghat dan dialek percakapan, berpakaian dan juga pemakanan.

Antara penempatan yang menjadi tumpuan utama Cina Peranakan ini ialah di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Kampung Tiruk serta Banggul Kemang, di Alor Limbat Marang.

Apa yang menarik, bagi kebanyakan Cina Peranakan mereka gemar menggenakan baju kebaya dan kain batik jawa sewaktu keluar rumah.

Manakala golongan lelaki pula sentiasa memakai kain pelikat dan baju pagoda selain kemeja.

Masyarakat Cina di Terengganu sejak dari dahulu lagi kebanyakan mereka tinggal dan hidup berjiran dalam komuniti bersama orang Melayu

Berdasarkan populariti, amalan dan keharmonian hidup berbudaya Melayu itulah, Kerajaan Terengganu telah mengiktiraf golongan tersebut dengan menganjurkan acara tahunan dinamakan Festival ‘Mek Kebaya’ yang kini ditukar nama kepada Festival ‘Mek Awang’ Terengganu.

Fetival Mek Kebaya mula diperkenalkan pada tahun 2014 yang diadakan selama seminggu di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Pada tahun lalu program berkenaan ditukar nama kepada Festival ‘Mek dan Awang’ (balik kampung) dianjurkan sempena Menyambut Tahun Baharu Cina 2022. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here