Bekalan telur kembali terhad di Kuala Terengganu

0
233

BEKALAN telur ayam sepanjang cuti Tahun Baru Cina (TBC) kembali meruncing di Kuala Terengganu apabila hanya satu daripada tiga pemborong utama menerima bekalan sumber protein berkenaan, hari ini.

Tinjauan mendapati pemborong berpangkalan di Cabang Tiga, di sini, hanya menerima bekalan telur ayam biasa sebanyak 1,000 papan mengandungi 30,000 biji.

Dua lagi syarikat pemborong, termasuk di Kampung Gong Kiat di Bukit Payong, Marang, terpaksa menutup sementara perniagaan apabila gagal menerima bekalan ditempah daripada pengeluar atas alasan tiada pengangkutan.

Pemborong, Jason Tan, berkata pihaknya membuat tempahan 7,000 papan mengandungi 210,000 biji telur pada Ahad lalu yang sepatutnya diterima empat hari kemudian.

“Bagaimanapun, syarikat pengeluar memaklumkan tempahan akan dihantar semalam, tapi selepas itu memberitahu tidak dapat menghantar kerana tiada pengangkutan.

“Saya terpaksa membatalkan semua tempahan yang dipesan lebih 70 pasar raya dan peniaga,” katanya lapor BH Online.

Disebabkan itu, Jason memutuskan menutup sementara perniagaan sehingga Selasa depan.

Sementara itu, tinjauan di syarikat pemborong di Cabang Tiga mendapati orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan telur hari ini.

Pengurus sebuah syarikat pemborong telur, Nursyzanil Adha Ramli, berkata pihaknya hanya menerima 1,000 papan mengandungi 30,000 biji telur ayam pelbagai gred.

“Kami terpaksa hadkan jualan hanya tiga papan mengandungi 90 biji telur. Kali terakhir kami terima bekalan telur adalah 5,000 papan, termasuk telur kotor dan Omega mengandungi 150,000 biji pada Selasa lalu,” katanya memaklumkan bekalan baharu dijangka diterima pada Selasa atau Rabu depan.

Tinjauan di beberapa pasar raya di daerah ini turut mendapati rak jualan telur ayam kosong sejak semalam.

Pengurus sebuah pasar raya memaklumkan bekalan telur ayam terputus disebabkan mereka tidak menerima bekalan daripada syarikat pemborong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here