Hassan jawab teguran Shabery dengan puisi

0
267

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menggunakan pendekatan seni dan sastera untuk menjawab “teguran” pemimpin UMNO yang mengingatkan dia agar tidak menyerang sesama sendiri secara terbuka selepas menjadi kerajaan.

Hassan merupakan pemimpin PKR yang lantang mengkritik pemimpin UMNO dalam kerajaan, terutamanya dalam usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalankan tadbir urus yang baik.

Puisi terbaru Hasan yang berjudul Demi Daulah Ini dipercayai menjawab kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) Datuk Ahmad Shabery Cheek semalam yang mengulas terhadap kenyataan ahli parlimen terbabit.

Ahmad Shabery sebelum ini menunjukkan rasa simpati terhadap dilema dihadapi Anwar ekoran kritikan terbuka Hassan membabitkan kes mahkamah dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Atas nama kestabilan, jangan digoncang perahu ini. Jangan, jangan nanti karam semua,” demikian tulis Hassan pada rangkap pertama puisinya lapor Malaysiakini.

Ahmad Shabery semalam mengingatkan perbuatan mengkritik rakan dalam kerajaan secara terbuka merupakan ‘virus’ yang belum ada vaksinnya sehingga kini.

Ia juga, kata bekas menteri terbabit, boleh memendekkan jangka hayat kerajaan seperti dihadapi Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

Pemimpin UMNO itu juga menyifatkan kerajaan sekarang dibina menggunakan jambatan sementara dengan menggunakan besi dan berdepan risiko runtuh.

“(Kerajaan hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh. Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya dalam satu hantaran menyindir di Facebook, semalam.

Puisi veteran PKR itu dilihat bernada sindiran dan melontarkan pendekatan bahawa perkara terbaik untuk dilakukan atas nama kestabilan adalah berdiam diri, menerima hakikat bahawa kini PH dan BN bekerjasama.

Melalui tulisan tersebut Hassan secara sinis berkisah tentang sikap dirasakan oleh sesetengah pihak perlu ada “demi negara” termasuk enggan bersuara terhadap sebarang kegagalan agar ia tidak “karam.”

Berikut puisi penuh Hassan:

Demi daulah ini

atas nama kestabilan

jangan digoncang perahu ini

jangan, jangan

nanti karam semua.

Ingat ya,

jambatan kamu

bukan Jambatan konkrit

ingat itu.

Lalu, diam semua kamu

sebaiknya

jangan lagi

jangan lagi bicara hal-hal rasuah.

Jangan, jangan

jangan diungkit-ungkit

ketirisan itu

kebocoran ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here