Video laung azan dalam ritual agama bukan di Malaysia – MCMC

0
189

VIDEO tular di media sosial memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan dalam ritual keagamaan tidak berlaku di negara ini.

Perkara itu disahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini.

Semakan MCMC mendapati video berdurasi 2 minit 27 saat itu berasal dari luar negara dan ditular semula seolah-olah ia berlaku di Malaysia.

MCMC menegaskan, video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang boleh mengancam dan mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum serta agama di negara ini.

“Susulan sebuah video berdurasi 2 minit 27 saat memaparkan seorang lelaki sedang melaungkan azan yang tular di media sosial ketika ini, MCMC ingin memaklumkan bahawa video berkenaan bukan berasal dari Malaysia.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat.

“Ia juga boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Utusan TV.

Mengulas lanjut, MCMC juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif.

Pada masa sama, suruhanjaya itu juga meminta orang ramai menyalurkan atau melaporkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

“Penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian dan prejudis terhadap mana-mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here