Kampungku di ‘serang’ penyakit untut (kaki gajah)

0
244

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

SELURUH penduduk di Kampung Gong Beris, Marang gempar seketika!

Kenapa tidak? Selepas baru sahaja selesai berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara, tiba-tiba mereka dikejutkan pula dengan satu lagi penyakit yang tidak pernah diduga.

“Tidak masuk akal, apa sudah terjadi? kenapa di kampung kita sahaja?”, soal seorang penduduk yang lebih mesra di panggil Pok Nik.

Suasana mula menjadi gempar sebaik sahaja kampung berkenaan dikunjungi sekumpulan rombongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan juga Pejabat Kesihatan Daerah Marang pada pertengahan Jun tahun lalu.

Malah, kehadiran ramai pegawai dan petugas kesihatan itu amat memeranjatkan penduduk kampung.

Filariasis yang juga dikenali sebagai kaki gajah adalah sejenis penyakit disebabkan cacing dewasa yang hidup didalam saluran limfa atau kelenjar pesakit

Dalam keadaan terpinga-pinga, semua penduduk dikumpulkan di kawasan perkarangan masjid untuk diberikan penerangan menerusi program khas dinamakan Mass Drug Administration (MDA).

Selepas itu, ia disusuli pula dengan kaedah pemberian ubat dari rumah ke rumah secara langsung (Direct Observation Therapy) yang dijalankan bagi mencegah penyakit Filariasis atau untut.

Filariasis yang juga dikenali sebagai kaki gajah adalah sejenis penyakit disebabkan cacing dewasa yang hidup didalam saluran limfa atau kelenjar pesakit.

Penyakit ini berlaku dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak, khasnya yang tinggal di kawasan luar bandar di negara ini.

Penyakit ini disebarkan oleh nyamuk yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama mikrofilaria daripada darah penghidap.

Semua penduduk termasuk kanak-kanak diminta supaya memakan ubat flaria sebanyak dua kali sebagai langkah pencengahan iaitu pada bulan Jun tahun lalu dan juga pada awal Januari tahun ini.

Program itu diadakan setelah Pejabat Kesihatan Daerah Marang berjaya mengesan sebanyak empat kes penyakit melibatkan penduduk di Kampung Gong Beris.

Maka itu, semua penduduk termasuk kanak-kanak diminta supaya memakan ubat flaria sebanyak dua kali sebagai langkah pencengahan iaitu pada bulan Jun tahun lalu dan juga pada awal Januari tahun ini.

Di dalam program tersebut, penulis dimaklumkan ia turut disertai oleh pasukan Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor KKM diketuai oleh Dr Khairiah Ibrahim, Pasukan Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor JKNT serta pegawai dan petugas Kesihatan Daerah Marang.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat dan Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Ibrahim Adam.

Kaedah pemberian ubat dari rumah ke rumah secara langsung (Direct Observation Therapy) yang dijalankan bagi mencegah penyakit Filariasis atau untut.

Dengan adanya program ini penulis berharap ia dapat mencegah daripada berlakunya penularan kes filariasis di kalangan penduduk setempat.

Penulis difahamkan Filariasis limfatik atau penyakit untut masih menjadi masalah kesihatan awam dan dianggarkan 120 juta penduduk di 80 buah negara dijangkiti dengan penyakit tersebut.

Satu pertiga penghidap tinggal di India, satu pertiga di kawasan Afrika dan selebihnya di Asia Tenggara, Pasifik dan Amerika.

Di Malaysia, terdapat lapan negeri yang mempunyai kawasan endemik filariasis iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Semua penduduk dikumpulkan di kawasan perkarangan masjid untuk diberikan penerangan menerusi program khas dinamakan Mass Drug Administration (MDA).

Semua negeri tersebut diberi tumpuan khusus dalam Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Strategi program ini adalah untuk menghentikan transmisi jangkitan filariasis dan mengawal morbiditi pesakit filariasis limfatik.

Oleh itu, penulis turut mengharapkan agar penduduk sentiasa mendengar nasihat pegawai kesihatan serta tidak ‘culas’ makan ubat bagi menghindar penyakit tersebut.

Ini kerana, seorang pegawai kesihatan pernah memberitahu penulis bahawa salah seorang penduduk kampung itu dijangkiti penyakit ini kerana dia tidak lengkapkan dos ubat yang diberikan sedangkan cacing mungkin sudah berada di dalam badannya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here