Laksana moratorium sewa bantu pengusaha kantin sekolah – Wan Saiful

0
189

KERAJAAN menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) digesa segera mencari penyelesaian kepada isu kenaikan harga makanan di kantin sekolah, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah pemberian moratorium sewa atau subsidi kos operasi kepada pengusaha kantin yang kebanyakannya adalah usahawan kecil Bumiputera.

Tegas ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, sebaiknya kerajaan mesti mencari penyelesaian bersama dengan pengusaha kantin.

“Sepatutnya Menteri Pendidikan PH-BN ini segera bertemu pengusaha kantin untuk membincangkan penyelesaian dan mencapai kata sepakat.

“Sebagai kerajaan, bantulah rakyat. Bukan sibuk berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, hasil pertemuannya bersama ibu bapa di sekitar kawasan Tasek Gelugor sejak dua hari lalu, ramai mengeluh bukan saja mengenai harga makanan di sekolah, malah isu kenaikan tambang bas sekolah yang belum selesai.

“Rungutan ibu bapa dah kedengaran sejak bermula sesi persekolahan 2023 lagi, tetapi sehingga hari ini, belum ada apa-apa kenyataan daripada menteri bertanggungjawab. Ini sekali lagi bukti bahawa menteri PH-BN tidak kompeten menjaga nasib rakyat dan menteri golongan kayangan ini gagal merasai denyut nadi kesusahan rakyat.

“Saya sedang mendapatkan komen lebih mendalam ibu bapa mengenai harga makanan kantin sekolah-sekolah di Tasek Gelugor,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan harga makanan di kantin sekolah meningkat sehingga 50 peratus pada sesi pembukaan sekolah yang bermula Selasa lalu, susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah, berkata peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here