Kerajaan pusat sengaja beri tekanan kepada negeri ditadbir Pas

0
183

KERAJAAN pusat didakwa sengaja melakukan tekanan khususnya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi terhadap negeri-negeri yang ditadbir Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan pusat dilihat sentiasa melakukan pelbagai cara untuk menekan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas.

Bagaimanapun katanya, kesemua negeri di bawah parti Islam itu tetap berjaya diuruskan dengan baik menerusi pentadbiran yang berintegriti dan amanah.

“Kerajaan pusat dilihat sentiasa mencari jalan melalui pelbagai kaedah untuk menekan kerajaan negeri di bawah Pas. Sebagai contoh, Pas berjaya mentadbir kerajaan Kelantan dan Terengganu menerusi amalan berjimat cermat.

“Bagaimanapun, sebaik kita memerintah Kelantan dan Terengganu, kedua-dua negeri ini disisihkan kerajaan pusat dengan pelbagai tekanan yang diberikan terutamanya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi,” katanya selepas menghadiri sesi dialog antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Abdul Hadi sebelum ini menulis di ruangan Minda Presiden, di Facebook rasminya mendakwa, negeri pimpinan parti itu mengalami kesukaran apabila dihalang dengan pelbagai cara dan penentangan sama ada secara nyata mahupun tersembunyi.

Beliau berkata, Pas mentadbir negeri dengan kuasa yang sangat terbatas dan tindakan Kerajaan Persekutuan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here