Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

PENGUSAHA kantin sekolah diminta merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan kenaikan harga makanan di premis berkenaan baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

“Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

“Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di Kuala Terengganu, yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas.

Ditanya mengenai laporan rasmi berhubung isu itu, beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklumat berkenaan jika mendapat aduan daripada mana-mana pihak.

“Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

Sementara itu, Fadhlina berkata tafsiran kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh KPM, namun peruntukan awal telah disalurkan kepada mana-mana sekolah yang teruk dan kritikal.

Katanya, tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

“Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sangat kagum dengan usaha pihak sekolah berkenaan yang melakukan kaedah ‘staging’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

“Kaedah staging saya fikir sangat efektif untuk tangani isu banjir. Kaedah ini boleh disebar luas ke negeri-negeri lain yang juga menghadapi isu banjir,” katanya.

Staging adalah kaedah penyediaan platform tinggi di sekolah untuk menempatkan aset-aset sekolah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda. – BERNAMA