Hampir 90 peratus populasi wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19

0
170

HAMPIR 90 peratus penduduk wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19, kata seorang pegawai kerajaan tertinggi hari ini, ketika negara itu berdepan dengan kenaikan kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pengarah Suruhanjaya Kesihatan di wilayah ketiga paling padat China itu, Kan Quancheng dalam sidang akhbar berkata, sehingga 6 Januari lalu, kadar jangkitan COVID-19 di wilayah itu adalah 89.0 peratus.

Angka itu mengandaikan seramai 88.5 juta daripada 99.4 juta penduduk di wilayah tengah China tersebut dijangkiti COVID-19.

Menurut Kan, jumlah penduduk yang mendapatkan rawatan demam di klinik memuncak pada 19 Disember dan selepas itu, ia mula menunjukkan trend penurunan.

China bergelut dengan lonjakan kes susulan keputusan pada bulan lalu untuk menarik balik pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan selama bertahun-tahun.

Ia termasuk prosedur kuarantin dan ujian saringan secara besar-besaran yang telah menjejaskan ekonominya dan mencetuskan protes yang jarang berlaku sebelum ini di seluruh negara.

Beijing bagaimanapun tekad meneruskan pembukaan semula negara itu semalam dengan menarik balik kuarantin wajib untuk semua ketibaan antarabangsa dan membuka sempadannya dengan wilayah selatan separuh autonomi, Hong Kong.

Bagaimanapun, jangkitan dijangka melonjak semula ketika negara itu menyambut Tahun Baru Cina pada penghujung bulan ini dengan berjuta-juta penduduk dijangka mengembara dari bandar besar untuk melawat saudara-mara terutama warga emas yang lebih berisiko di luar bandar.

Mengikut media kerajaan, dalam gelombang pertama sebelum musim percutian, data rasmi Sabtu lalu menunjukkan 34.7 juta orang melakukan perjalanan dalam negara, ia meningkat lebih satu pertiga berbanding tahun lalu.

Data rasmi menunjukkan pada minggu lalu, hanya 120,000 orang yang dijangkiti COVID-19 dan 30 individu meninggal dunia sejak China melonggarkan sekatan bagi memerangi wabak itu, awal Disember lalu.

Namun, memandangkan Beijing meletakkan definisi yang lebih sempit bagi kematian akibat COVID-19 dan ujian saringan besar-besaran tidak lagi diwajibkan, data berkenaan dilihat tidak lagi mencerminkan skala sebenar wabak berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here