Siasatan kes jurulatih tampar pemain selesai – KPM

0
210

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) selesai menjalankan siasatan kejadian jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya baru-baru ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, laporan siasatan sudah dihantar kepada Unit Tatatertib dan Integriti KPM untuk tindakan lanjut.

“Ingin saya tekankan di sini, dari awal sudah kita nyatakan dalam kes ini, proses sangat penting. Kita ada ruang keadilan untuk semua pihak, malah guru tersebut (jurulatih) juga boleh buat representasi. KPM tidak berkompromi soal keganasan,” katanya selepas meninjau gelanggang bola keranjang Bukit Panchor iaitu lokasi Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengulas tindakan seorang jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14) yang menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan di Johor dari 14 hingga 16 Sept 2022.

Sebelum ini, tular video memaparkan jurulatih itu menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun.

Ekoran insiden di Johor itu, jurulatih tersebut, Saiful Hadee Amar, 44, memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya dan sedia berdepan sebarang tindakan.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here