UMNO bukan milik Zahidi Hamidi 

0
157

Oleh RIZQI ZABIDI

DALAM nada cukup tegas, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail mengingatkan bahawa parti itu bukan dimiliki oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru katanya, sebarang keputusan tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa mempedulikan akar umbi.

“UMNO bukan milik Zahid Hamidi! Jangan buat keputusan sesuka hati tanpa sedikit pun menghormati kami ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Jangan cabar suara keramat ahli UMNO,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Sementara itu katanya, ketika ini dapat dilihat sesetengah ahli UMNO yang asyik ‘meratib’ tidak mahu perpecahan dan porak-peranda dalam parti sebagai alasan untuk mengelak daripada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.

“Hakikatnya mereka inilah yang selama ini paling kuat memecah belahkan parti, memporak-perandakan keluarga UMNO, tabur fitnah sana-sini sampai rakyat naik muak dengan politiking UMNO.

“Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pun UMNO kalah tetapi tidaklah seteruk PRU-15. Ketika itu boleh saja Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan sebagai Presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melepaskan jawatan Naib Presiden.

“Itulah namanya ‘collective responsibility’” katanya.

Tambahnya, selepas itu Ahmad Zahid memangku jawatan Presiden sebelum pemilihan diadakan dengan beliau sendiri menyokong semua jawatan dipertandingkan.
 
Pertandingan ketika itu katanya menyaksikan pertembungan lima penjuru dan Ahmad Zahid memenanginya.

“Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin pun menang. Tidak berlaku pun perpecahan dalam UMNO dengan semua pihak menghormatinya kerana kemenangan itu adalah sah dan adil.

“Kami di akar umbi mengharapkan ‘top 5’ ini terus berjuang demi kembalikan zaman gemilang UMNO. Malangnya bukan saja parti kalah, malah kekalahan itu lebih teruk berbanding PRU-14.

“Bukan kami tak hormat tetapi kalau itulah keadaannya, tidakkah tergerak hati untuk berundur dan mengambil tanggungjawab? Setidak-tidaknya bukalah ruang untuk semua jawatan dipertandingkan dan kenapa nak takut?” soalnya.

Beliau berkata, pemilihan itu juga menyaksikan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kalah tetapi mereka berdua tetap bersama UMNO.

“Malah Khairy tetap menerima untuk menjadi calon di Sungai Buloh dan berjaya menurunkan majoriti Pakatan Harapan (PH) dari 26,000 kepada 2,000 saja. Ini yang rakyat nak lihat bahawa UMNO sebagai sebuah parti terbuka dan bukan milik sesetengah individu kemaruk kuasa.

“Sepatutnya, inilah yang akan menguatkan imej UMNO,” katanya.

Tambahnya, disebabkan perkara itu sama ada rela atau tidak, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu diadakan.

“Biar 150,000 perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan buat pilihan terbaik. Siapa menang, kita beri sokongan sepenuhnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here