Langkah London fitnah pemimpin UMNO takut bayang-bayang sendiri

0
216

SPEKULASI terdapat gerakan politik bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada yang digelar Langkah London sebenarnya merupakan satu fitnah jelik daripada kelompok pemimpin tertentu dalam UMNO yang takut kepada bayang-bayang sendiri.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dakwaan gerakan menjatuhkan kerajaan itu didalangi Perikatan Nasional (PN) juga merupakan tuduhan palsu yang cuba mengalihkan perhatian daripada isu masalah dalaman kronik UMNO.

Lebih menarik, Ahli Parlimen Machang itu percaya dakyah disebarkan segelintir ‘penjilat’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sebenarnya bertujuan untuk mencari kambing hitam dari parti itu sendiri supaya ahli-ahli UMNO membencinya dan terus menyokong Ahmad Zahid.

“Ini adalah fitnah batil daripada golongan dalam UMNO yang takut dengan bayang-bayang, yang takut dengan kebangkitan ahli-ahli UMNO sendiri.

“Mereka tahu mereka mempunyai seorang Presiden yang gagal dan menyebabkan prestasi UMNO sangat teruk dengan hanya meraih 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Justeru, kumpulan penjilat Presiden UMNO ini sebenarnya sedang mencari kambing hitam supaya orang-orang UMNO lain membenci kambing hitam ini dan terus menyokong Presiden mereka yang gagal,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi dakwaan Langkah London yang dikaitkan dengan satu pertemuan sulit di antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa pemimpin koalisi itu selain pemimpin UMNO di London baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal juga menyifatkan spekulasi gerakan berkenaan dibangkitkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 termasuklah tuduhan ada boneka PN dalam UMNO adalah perkara tidak masuk akal yang bertujuan memburukkan reputasi koalisi itu.

“Kita pun tahu UMNO-BN kalah teruk pada PRU15, cuma tuduhan ada boneka PN dalam UMNO tidak masuk akal.

“Tidak mengapa mereka hendak melemparkan tuduhan berkenaan, tetapi janganlah heret nama PN, atau mencipta persepsi ada Langkah London dan sebagainya kononnya berpunca daripada pihak kami.

“Sekali lagi, Ini merupakan permainan jelek pimpinan UMNO yang takut kebangkitan ahli-ahli parti itu sendiri,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here