Piala AFF: Ketiadaan 21,000 penyokong gembirakan Thailand

0
243

KEKOSONGAN 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF esok angkara halangan struktur konsert selebriti antarabangsa Taiwan, Jay Chou nampaknya memberi kegembiraan pasukan Thailand.

Perkembangan itu diakui sendiri pengendali skuad Gajah Perang, Alexandre Polking yang tampak menarik nafas lega selepas SNBJ tidak dapat beroperasi semaksimum mungkin susulan penganjuran konsert artis berkenaan pada 15 Januari ini.

Namun ketiadaan 21,000 penyokong itu bukanlah ‘lesen’ untuk anak buahnya memandang enteng pertembungan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 malam esok memandangkan Malaysia tetap memiliki kekuatannya yang tersendiri.

“Segala-galanya baik di sini dan mental kita sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi sengit ini. Saya rasa kita agak bertuah dengan penganjuran konsert yang menyebabkan 21,000 tempat terpaksa dikosongkan, jadi kami gembira dengan situasi itu.

“Tetapi kami tahu aksi ini tetap sukar dan kita harus bersedia denga apa juga situasi yang mungkin terjadi pada perlawanan esok (malam ini). Kita akan bermain dengan kekuatan kita, cuba mendapatkan bola dan mengawal permainan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara, hari ini.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Brazil itu melihat skuad Harimau Malaya yang ‘berwajah baharu’ ini tetap mampu mengancam mereka apatah lagi dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas dalam bola sepak, Kim Pan Gon.

“Pasukan Malaysia ada kekuatan dengan DNA mereka sebagai pejuang. Tak kisahlah siapa pun yang bermain, DNA ini tetap ada dalam setiap pemain Malaysia walaupun mereka berdepan senario sama seperti kita apabila tidak mendapat pemain terbaik.

“Tetapi mereka tetap ada pemain yang berkualiti dan pertembungan ini sentiasa sukar sama seperti sebelum ini. Ini adalah aksi yang begitu kompetitif dan harapnya kita dapat membawa pulang keputusan yang positif bagi aksi kedua nanti,” katanya, lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here