Kebangkitan Islam sedang dihalang, kata Hadi

0
205

UMAT Islam di seluruh dunia sedang dihalang kebangkitannya semula untuk berkuasa walaupun sudah memilih pendekatan secara demokrasi yang sinonim dengan Islam, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kebangkitan Islam di seluruh dunia itu kini dihalang dengan pelbagai fitnah dan penipuan.

Tegasnya, apabila umat Islam berkuasa memerintah negara dengan adil, mewujudkan kerajaan yang bersih daripada segala penyakit rasuah dan salah urus, ia tetap ditolak oleh golongan berkenaan.

“Islam tetap dihalang di mana sahaja di seluruh dunia, walaupun sudah memilih pendekatan demokrasi yang dikira sinonim dengan Islam.

“Namun, demokrasi ala-Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula. Alasan di sini kerana Pas mendapat kerusi paling banyak, walaupun Pas sedia berta’awun (saling membantu) dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem.

“Maka, terciptalah satu kumpulan ahzab (barisan, parti dan kumpulan) yang berbeza ideologi dan niat yang tidak ikhlas, bersatu untuk menentang Islam yang pernah dihadapi oleh generasi awal dengan penuh keimanan,” katanya menerusi Minda Presiden, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), baru-baru ini, sudah menyaksikan gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam yang memenangkan PN.

Katanya, Pas secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu sudah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu, yang kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.

“Ketika itu, dipaparkan sokongan profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda.

“Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai.

“Semua tawaran sedemikian ditolak oleh anak muda yang ditipu ketika PRU-14 lalu, sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15. Sehinggakan, pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih (awal) makan garamnya,” katanya.

Beliau berkata, perkara yang terpenting adalah anak muda mendapat petunjuk Allah untuk menunaikan kewajipan mengundi yang bukan lagi fardu kifayah, tetapi jihad fardu `ain, kerana Islam dan umatnya diancam.

“Adapun kalangan mereka yang tua pula tidak menunaikan kewajipan yang besar ini kerana merasakan ia tidak penting, disebabkan jahil murakkab (berganda) setelah dikatakan negara ini sudah merdeka lebih setengah abad.

“Adapun penubuhan kerajaan pasca pilihan raya adalah di luar tabii demokrasi yang sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here