Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang

0
189

AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan kerajaan yang didakwa tidak diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim menegaskan penjelasan sebaiknya perlu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, sebaliknya tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.

“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya lapor BH.

Mohd Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here