Jurulatih ‘beremosi’ tampar pemain dah mohon maaf, kata Exco

0
246

JURULATIH skuad bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun sudah memohon maaf kepada dua pemainnya yang ditampar selepas insiden itu pada hari pertandingan 14 Dis lalu.

Perkara itu disahkan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam sambil menyatakan jurulatih berkenaan juga sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf.

“Ini pertama kali Melaka masuk separuh akhir dan jurulatih sangat teruja dengan kemaraan pasukannya itu, namun kalah tipis 2-3 kepada Johor.

“Selepas pertandingan tersebut, jurulatih itu telah menerangkan keadaan kepada pihak pengurusan teknikal, yang pada masa sama menegur beliau. Selepas kejadian, beliau berjumpa dengan kedua-dua pemain itu dan memohon maaf dan telah diselesaikan di tempat kejadian pada hari itu juga,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, jurulatih itu juga sudah berjumpa ibu bapa pemain terbabit dan memohon maaf atas insiden tersebut.

“Jadi di satu peringkat, perkara ini telah pun selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya.

Shamugam berkata, insiden pada 14 Dis itu berlaku apabila jurulatih tersebut “sedikit emosi” apabila melihat prestasi pemainnya tidak mencapai tahap diinginkan pada hari pertandingan itu.

Terdahulu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam kenyataan semalam, mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih skuad bola tampar Melaka itu susulan tular insiden menampar pemainnya pada Kejohanan Bola Tampar Remaja Malaysia 2022 Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor, yang berlangsung 14 hingga 16 Dis lalu.

Dalam pada itu, Shamugam berkata, status jurulatih terbabit sama ada digantung atau tidak akan ditentukan Rabu ini.

Katanya, meskipun Mava sudah ambil tindakan untuk gantung sementara, tetapi jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan itu adalah bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka.

“Kami akan berjumpa semua pihak termasuk wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Bola Tampar Melaka, jurulatih dan ibu bapa serta pemain Rabu ini.

“Pihak pengurusan skuad bola tampar pada kejohanan itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dan hasil pertemuan dan perbincangan itu akan menentukan nasib jurulatih tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here