Kerajaan Perlis fokus bangunkan ekonomi negeri, tumpuan kepada pelaburan – MB

0
175

KERAJAAN Perlis akan menyusun projek-projek ekonomi negeri dalam memastikan pembangunan sektor berkenaan mampu ditingkatkan sekali gus memberi kesan positif kepada negeri pada tahun 2023.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil pendekatan yang sama dengan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam urusan membabitkan pelaburan di negeri itu.

“Projek-projek ekonomi kita tengah susun (dengan baik) supaya dapat memastikan ekonomi negeri Perlis lebih meningkat.

“Saya buat pendekatan sama dengan kerajaan Kedah di mana sekiranya ada perjanjian untuk melabur di sini, kita akan beri had masa untuk pelabur bagi memastikan (urusan) pelaburan berlaku dengan cepat.

“Kita tidak mahu satu-satu projek tertangguh sampai bertahun, yang akan menyebabkan peluang orang lain tiada, dan pihak berkenaan tidak dapat laksanakan apa yang dirancang.

“Jadi kita akan pastikan pelaburan-pelaburan berlaku dengan cepat di Perlis,” katanya lapor Astro AWANI.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, sektor pelancongan jelasnya akan diperkemas terutama dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri paling utara di Semenanjung Malaysia itu.

Pada 20 Disember lalu, Mohd Shukri menyatakan bahawa Bajet Perlis 2023 memfokuskan kepada tiga teras iaitu peningkatan ekonomi melalui pelaburan, peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negeri yang mampan.

Bajet sulung kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu berjumlah RM293.36 juta melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here