Ambil iktibar, tangguh kemasukan pelancong China – PAS

0
173

PAS mencadangkan kemasukan pelancong dari China ditangguhkan sementara susulan penularan kes baharu Covid-19 di negara itu yang semakin serius.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin, berkata Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

“Pas menyarankan kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memerhatikan perkembangan di China dan negara lain yang menerima kehadiran pelancong dari republik itu.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan kerajaan sebelum membenarkan semula kemasukan pelancong China ke negara ini.

“Bagi pelancong yang telah berada di negara ini, mereka perlu dikenal pasti dan diperiksa tentang status Covid-19,” katanya, lapor FMT.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam.

Pengumuman itu dibuat susulan berlaku kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.

Menurut Zaliha, pelancong yang mengalami demam, bergejala atau mengisytiharkan diri (untuk simptom Covid-19) akan dirujuk ke pusat kuarantin, atau kepada pihak berkuasa kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Pada masa sama, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan, akan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen, dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika positif Covid-19, katanya.

Ini juga terpakai kepada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari, atau menunjukkan penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here