‘Tragedi Batang Kali: Pemilik tanah, kerajaan negeri bertanggungjawab’

0
240

SELAIN pemilik tanah, kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab terhadap kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali sehingga mengorbankan 31 nyawa.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata pemilik tanah berkenaan bersalah kerana memanipulasi kawasan pertanian itu untuk dijadikan tempat rekreasi tanpa pengetahuan pihak berwajib.

“Kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab yang berlaku dalam kawasan pentadbirannya itu.

“Kerana pada hakikatnya, kawasan bercerun yang juga diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar paling banyak taburannya adalah di Selangor, berbanding di negeri lain di negara ini.

“Jadi kerajaan negeri sepatutnya sedar potensi kejadian tanah runtuh yang akan berlaku apabila tibanya musim hujan seterusnya perlu bertindak lebih proaktif dan langkah susulan.

“Antaranya dengan mengadakan langkah ketat ke atas semua aktiviti yang dilakukan manusia di kawasan tanah tinggi dan berisiko bagi membendung isu kegiatan haram yang mungkin memberi kesan langsung ke atas keselamatan alam sekitar,” katanya kepada BH.

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu adalah kejadian kedua terbesar membabitkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi kira-kira jam 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan berkenaan.

Sementara itu, berkongsi pandangan sama, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata bencana yang berlaku itu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Tanpa mahu menuding jari kepada sesiapa, Meor Razak berkata perkara itu dapat dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Ia boleh dielakkan jika segala syarat dipatuhi serta pemantauan oleh pihak berkuasa diadakan dengan lebih kerap terutamanya di kawasan yang dikesan sebagai sensitif.

“Sebagaimana kita sedia maklum kawasan itu adalah tanah milik syarikat atau individu yang melaksanakan pertanian tanaman organik, jadi pemiliknya perlu mematuhi syarat nyata pemilikan tanah berkenaan.

“Tanah itu dikhususkan untuk pertanian, dalam geran tanah itu sepatutnya sudah disertakan dengan syarat tertentu mengenai pemilikan dan kegunaan tanah.

“Bila syarat nyata itu ditulis untuk pertanian, maknanya ia khusus untuk pertanian dan tidak boleh dibangunkan chalet, hotel, resort mahupun tapak perkhemahan secara komersial. Di sini kita nampak yang pemilik tanah tidak mematuhi apa yang sudah ditetapkan dalam syarat nyata pemilikan tanah berkenaan,” katanya.

Tambahnya, dengan kegunaan tanah yang disertakan dalam geran berkenaan, pihak berkuasa perlu memastikan setiap pemilik tanah mematuhi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di kawasan masing-masing.

“Setiap daerah mempunyai RTD dan sekiranya kawasan itu dikhususkan sebagai zon pertanian, bagaimana pemilik tanah itu ‘boleh terlepas’ menjadikan ia sebagai tapak komersial.

“Ia dipanggil sebagai kawasan komersial kerana bukan hanya satu dua khemah yang dipacakkan di kawasan itu untuk diduduki oleh seorang dua individu, tetapi ia dibuka kepada orang ramai dan mereka ini perlu bayar kepada pemilik tanah untuk menginap di situ, ini sudah salah kerana sepatutnya pemilik perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dan PBT pula tidak boleh luluskan ia sebagai kawasan komersial kerana ia adalah zon pertanian, sebab itu sepatutnya PBT ini bila sudah tahu ia digunakan sebagai tapak perkhemahan komersial sepatutnya dari awal diambil tindakan.

“Bukan sahaja PBT, malah Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga boleh ambil tindakan kerana pemilik itu tidak mempunyai permit dan melanggar syarat-syarat kegunaan tanah,” katanya.

Meor Razak berkata beliau tidak mahu menuduh sesiapa yang bersalah namun peraturan dan peruntukan undang-undang sudah ada dan mengapa ia tidak dikuatkuasakan oleh pihak yang sepatutnya dan mengambil tindakan lebih awal sebelum kejadian itu berlaku.

“Jika tindakan sudah diambil lebih awal, ia secara tidak langsung boleh elakkan berlakunya insiden kehilangan nyawa. Bencana tetap akan berlaku, kerana jika dilihat kepada RTD kawasan itu, ia diletakkan sebagai kawasan sensitif tahap satu dan dua, jadi tidak mustahil akan berlakunya bencana.

“Kawasan sensitif tahap satu dan dua ini perlu dipelihara sebagai kawasan perlindungan bukannya dijadikan tempat komersial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here