MASA tawar geran penyelidikan MPDP 2.0

0
240

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menawarkan geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) kali kedua atau MPDP 2.0 bagi tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, MPDP 2.0 ditawarkan kepada badan pemikir, para penyelidik dan ahli akademia dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Menurutnya, MPDP 2.0 menawarkan geran sehingga RM15,000 untuk setiap kertas cadangan penyelidikan yang terpilih.

“Pemohon yang berjaya perlu menghasilkan ringkasan polisi dan digalakkan untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam media cetak, media elektronik dan/atau jurnal terkemuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, mereka yang berminat perlu mengemukakan kertas cadangan penyelidikan mengikut kategori dan tema terpilih bersandarkan kepada lapan fokus utama sebagai persediaan dalam menangani cabaran kemelesetan ekonomi 2023 dan tahun-tahun akan datang.

Katanya, fokus tema atau isu itu melibatkan, Rumah Mampu Milik; Keselamatan Makanan; Perlindungan Sosial; Perubahan Iklim; Memacu Perniagaan; Meningkatkan Kemahiran Secara Berkala; Membina Daya Tahan Kesihatan & Kesiapsiagaan Krisis Masa Depan dan Menangani Keciciran Pembelajaran.

“Borang permohonan MPDP 2.0 yang lengkap perlu dihantar selewat-lewatnya pada 30 Januari 2023 (Isnin). Untuk makluman lanjut, sila layari laman sesawang MASA di https://bit.ly/MPDP_2-0 atau hubungi Bahagian Dasar dan Penyelidikan menerusi emel [email protected],” tambahnya.

MPDP diperkenalkan julung kalinya pada September 2021 dan mendapat sambutan memberangsangkan dengan penerimaan sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 buah IPTA dan IPTS.

MPDP merupakan suatu usaha rintis dalam mempromosi penyelidikan dasar yang telah menjadi sebahagian daripada projek flagship MASA sepanjang tahun 2021 dan 2022, seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijajarkan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sebanyak 30 Ringkasan Polisi berjaya dihasilkan – merangkumi penyelidikan dasar dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan pembangunan lestari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here