Tiga lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

0
183

TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang kelmarin dipercayai anggota sindiket memproses dan menjual air ketum.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan di sini hari ini memakluman, dalam serbuan itu polis turut merampas sebanyak 105 kilogram (kg) daun ketum bersama suspek yang berusia antara 22 hingga 26 tahun berkenaan.

Katanya, suspek menjadikan bahagian belakang rumah itu sebagai tempat memproses air ketum dan ketika serbuan, terdapat empat buah periuk besar sedang digunakan untuk memasak daun ketum untuk dijadikan air ketum.

Selain daun ketum, polis turut merampas ratusan bungkusan air ketum yang telah siap diproses iaitu 1,545 liter, peralatan memasak, tong gas dan pelbagai lagi yang kesemuanya bernilai RM16,500.

“Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak beberapa bulan lalu dan mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

“Sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian mereka yang berperanan menjual air ketum kepada pembeli terutama pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambahnya, polis kini giat mengesan rangkaian sindiket itu dan tiga lelaki yang ditahan kini direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana disyaki along yang menyimbah cat di premis perniagaan.

“Suspek ditahan di Sungai Petani, Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427(324) Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here