Kerajaan perpaduan tak bertahan lama jika disertai puak tolak Islam

0
216

IDEOLOGI yang memimpin kerajaan perpaduan berasaskan bangsa, ekonomi, sempadan wilayah, kerjasama pertahanan dan keamanan, tidak mampu bertahan lama, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak dalam negara, Ahli Parlimen Marang menjelaskan ianya disebabkan kepimpinan tidak boleh mengawal nafsu besar manusia yang tidak dikawal oleh akal dan ilmu yang berpandukan iman atau akidah yang menjadi petunjuk Allah.

Malah, beliau mengingatkan bahawa Islam mengharamkan sebarang hubungan yang boleh menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia.

“Begitu juga, apabila bersama kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam, sama ada mereka yang menghina ajarannya atau bermusuh terhadap penganutnya atau bersikap melampau mahu berkuasa terhadap umat Islam.

“Bahkan, kalangan Islam yang melakukan perkara sedemikian dianggap munafik.

“Rasulullah SAW beristiqamah dengan tegas berpegang kepada prinsip dan konsep yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sehinggakan Baginda sanggup membatalkan hubungan dengan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar syarat dan adab perpaduan dalam Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini (26 Disember 2022).

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu juga menjelaskan Islam membenarkan perbezaan pendapat, bahkan kebebasan beragama tanpa paksaan dengan sempadan yang tidak hanyut oleh liberalisme.

Memetik ayat 8 surah Al-Maidah, Abdul Hadi menjelaskan Allah mewajibkan agar berlaku adil kepada semua dan diharamkan bersikap melampau dan ekstrem, walaupun terhadap musuh bukan Islam yang bukan dalam kalangan rakyatnya.

“Islam menegaskan prinsip perpaduannya sendiri mengikut petunjuk Allah, Pencipta manusia yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Bijaksana. Perkara ini wajib dipercayai dan dilaksanakan oleh mereka yang beriman, demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

“Adapun perpaduan tanpa petunjuk Allah SWT tersebut adalah diharamkan, disebabkan oleh kerapuhannya. Ikatannya yang membawa padah di dunia dan akhirat kerana pelaksanaannya tidak berprinsipkan aqidah dan tidak mempunyai konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar yang mengawal kehidupan manusia serta pergaulannya dalam bermasyarakat. Hal ini disebabkan tiada asas akidah untuk mengawal diri dan tidak berakhlak,” jelasnya lapor Agenda Daily.

Abdul Hadi mengakui semua kumpulan mengajak kepada perpaduan mengikut kepercayaan agama dan ideologi masing-masing, bermula daripada peringkat rakyat sehinggalah peringkat satu bangsa, satu negara dan antara pelbagai bangsa dan negara.

Namun, katanya semua ajaran itu tidak lengkap dan tidak memenuhi ciri-ciri fitrah manusia yang tidak mungkin dapat disatukan laksana barangan yang tidak bernyawa dan tidak berakal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here