Nahas lima kenderaan, trafik sesak di Genting Sempah

0
391

LIMA kenderaan, termasuk dua lori terbabit dalam kemalangan di kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Kemalangan menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya sepanjang kira-kira 21.2 kilometer dari Kilometer (KM) 21.7 sehingga ke lokasi kemalangan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata kemalangan itu membabitkan dua lori Scania, sebuah Toyota Vios, Nazaria dan Honda Civic.

“Bagaimanapun, kemalangan hanya menyebabkan dua lelaki cedera ringan dan pihak bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pihak konsesi lebuh raya, ANIH Berhad memaklumkan kemalangan dilaporkan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu menyebabkan trafik sesak sepanjang 21.2 kilometer dari KM 21.7 hingga ke lokasi kemalangan.

Katanya, laluan di KM 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong itu terhalang sementara susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan.

“Trafik turut sesak kira-kira 10.4 kilometer dari KM 53.4 sehingga lokasi kemalangan. Turut sesak dari KM 21.3 hingga Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan kenderaan,” katanya.

Berdasarkan perkembangan jam 3 petang tadi, lorong kanan dan kiri sudah dibuka kepada lalu lintas, manakala lorong kecemasan masih ditutup.

“Kerja pembersihan di lokasi dijangka siap sebelum jam 6 petang ini. Kerjasama pengguna dalam merancang perjalanan amat dihargai,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here