Tanah runtuh: Seorang lagi murid SJKC Mun Choong belum ditemui

0
340

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong memaklumkan daripada 26 mangsa yang terbabit dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Jumaat lalu, terdapat seorang lagi yang belum ditemui.

Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, murid lelaki darjah lima itu adalah anak kepada pengusaha kantin di sekolah.

“Jika tidak silap jumlah keseluruhannya adalah 26 orang termasuk enam guru dan pekerja kantin yang bekerja di sekolah ini. Mangsa lain adalah kenalan kepada mereka semua.

“Setakat ini semua sudah ditemui kecuali seorang murid lelaki darjah lima. Sebenarnya kami merancang untuk membuat majlis memperingati mangsa tanah runtuh ini, namun disebabkan ada beberapa keluarga yang belum selesai proses pengebumian serta masih ada yang belum ditemui, jadi kita akan tunggu dulu.

“Sebab mereka ini (pengusaha kantin) juga adalah sebahagian dengan sekolah ini, jadi tak boleh sisihkan mereka. (Bila semua sudah selesai) kita akan buat majlis di sekolah ini sebagai kenangan guru-guru dan pengusaha kantin,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan RM50,000 daripada syarikat pembinaan Gadang Holdings Berhad di SJKC Chun Moong, hari ini, memetik laporan Harian Metro.

Kejadian jam 2.42 pagi itu membabitkan 94 mangsa dan daripada jumlah itu 61 orang selamat, 26 terkorban dan tujuh lagi mangsa masih hilang.

Perincian mangsa meninggal dunia ialah 13 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa serta tiga kanak-kanak perempuan.

Mengulas mengenai sumbangan yang diterima, Chin Ong berkata, pihaknya berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan oleh syarikat korporat Gadang Holdings dan ia adalah sumbangan terbesar yang diterima oleh pihaknya setakat ini.

“Buat masa ini kita belum mengetahui jumlah sebenar yang diberikan oleh individu mahupun syarikat korporat, bagaimanapun setakat ini, jumlah terbesar yang diterima adalah daripada Gadang Holdings.

“Pihak sekolah juga ada membuka tabung sumbangan dan setakat ini respon yang diberikan sangat baik, selain sumbangan dari rakyat Malaysia kami juga menerima sumbangan dari Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Chin Ong turut menafikan pihaknya ada bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul sumbangan untuk diberikan kepada keluarga mangsa.

“Kami hanya membuka satu tabung dan tidak bekerjasama dengan mana-mana NGO. Kami mengetahui ada NGO yang menggunakan nama sekolah ini untuk menerima sumbangan, kami nafikan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Modal Insan dan Sokongan Gadang Holdings, Jenny Wai berkata, insiden yang berlaku itu sangat menyayat hati dan disebabkan itu pihaknya terpanggil untuk menyalurkan bantuan kepada pihak SJKC Mun Choong.

“Berita tanah runtuh ini sangat mengejutkan dan ada juga antara pekerja kami yang menghantar anak mereka di sekolah ini. Jadi kami rasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan.

“Malah difahamkan ada antara guru ini menjadi tonggak utama dalam keluarga, sudah tentu kejadian ini membuatkan ada keluarga yang hilang tempat bergantung. Ada juga di antara guru ini aktif dengan kerja kebajikan. Disebabkan itu kami berikan bantuan ini yang mungkin dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here