4,900 hektar sawah di Pekan musnah ditenggelami banjir

0
169

SEKURANG-kurangnya 4,900 hektar sawah di daerah Pekan ditenggelami banjir yang berlaku minggu lalu, menyebabkan kerugian kira-kira RM5 juta.

Menurut Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris, enam kawasan skim sawah di Pekan, diusahakan 2,200 pesawah tempatan musnah kerana ditenggelami banjir.

Katanya, ia membabitkan Skim Serandu, Skim Mambang, Skim Pulau Tambun, Skim Ganchong, Skim Pahang Tua dan Skim Merchong, yang mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.

Beliau berkata, hujan berterusan sejak November lalu hingga kini menyebabkan banjir berlaku di kawasan terbabit hingga mencapai setinggi kira-kira satu meter.

“IADA Pekan dan Jabatan Pertanian Pahang kini berusaha mengumpulkan maklumat terkini, selain melakukan penilaian kerosakan sebenar tanaman padi di kawasan sawah yang banjir telah surut.

“Kita juga memantau secara berterusan kawasan yang masih ditenggelami air. Maklumat disalurkan secara berkala kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk tindakan susulan,” katanya, lapor Berita Harian.

Muhamad Khalil berkata, banjir yang berlaku kali ini menyebabkan ramai pesawah tidak sempat menuai padi yang sudah matang dan padi rosak selepas tiga hari ditenggelami air.

Beliau berkata, pesawah menukar jadual menanam padi musim kedua kali ini dengan mengawalkannya bagi mengelak kejadian banjir, namun musim hujan bermula awal iaitu bulan lalu berbanding kebiasaannya pada Disember.

Katanya, pesawah yang terbabit dengan kejadian itu berpeluang menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

“TBTP yang disediakan kerajaan bukan ganti rugi, sebaliknya wang ehsan bagi menampung beban kerugian yang ditanggung pesawah terbabit,” katanya.

Tahun lalu, seramai 1,203 pesawah di daerah ini menerima TBTP berjumlah RM3.21 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here