Hassan pertikai MoU ‘tidak undi, hilang kerusi, sanggup ‘dipancung’, tidak rela demokrasi berkubur

0
209

PERJANJIAN persefahaman (MoU) antara lima gabungan parti yang mewajibkan Ahli-ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usul undi percaya di Parlimen esok terus mendapat kritikan, termasuk dari kalangan pemimpin parti Pakatan Harapan sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang sebelum ini mengkiritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik pemimpin yang mempunyai kes mahkamah menyertai Kabinetnya melalui puisi, menulis sebuah satu deklarasi malam tadi menyatakan kekesalannya terhadap MoU yang ditandatangani antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan itu.

MoU itu mewajibkan Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar, yang mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang dimenangi.

Dalam deklarasi yang disiarkan di Facebook miliknya, Hassan mempertikaikan mengapa MoU tersebut dijadikan senjata tajam dengan memberi kata dua kepada Ahli Parlimen untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri atau mereka akan kehilangan kerusi.

Berikut petikan penuh deklarasi beliau:

Ini bukan puisi
Ini satu deklarasi
Izinkan aku bertanya
Parlimen itu apa?

Aku diberitahu
Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

Oh, begitu rupanya,
Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
Yang bergerak satu hala saja
Mengikut arah si sang ketua

Biarlah aku bicara
Sebagai seorang MP di sini
Aku bukan robot, bukan zombi
Aku masih ada maruah
bukan bangkai bernyawa

Lusa 19 Disember
tarikh keramat di Palimen kami
aku isytiharkan di sini,
aku akan mengundi bebas ikut hatiku
akan aku berikan undi kepercayaan
kepada Perdana Menteri sahabatku

Namun begitu,
Sila dengar bicaraku
Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

Ke mana perginya kepercayaan kita
Kepada pertimbangan bijaksana?

Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
Undi MP itu mesti mandatori
Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

Kepada sahabatku
Benarkan aku bertanya
Ini autokrasi atau demokrasi?

Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
Lalu rayuan terakhirku,
Kembalikan hak kami para MP
Bebas mengundi
Menurut akal dan budi

Maka
Kepada mu abang Tuah
Aku lafazkan satu deklarasi di sini

Biarlah aku dipancung mati
Aku tidak rela
Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here