Hajiji hilang keabsahan sebagai pengerusi GRS, MOU tak sah – Ronald Kiandee

0
193

NAIB Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa Datuk Seri Hajiji Noor tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Justeru, kata Ronald, perjanjian persefahaman (MOU) bersama Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani oleh Hajiji semalam tidak sah.

“Saya menegaskan bahawa Hajiji yang dilantik sebagai pengerusi GRS atas kapasiti beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersaty Sabah sebelum ini, tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai pengerusi GRS oleh kerana tindakan beliau keluar dari Bersatu.

“Oleh itu, keahlian beliau dalam GRS kini hanyalah sebagai ahli individu dan kedudukan beliau sebagai pengerusi GRS hendaklah diputuskan semula oleh Majlis Tertinggi GRS.

“Berikutan ini, perjanjian persefahaman gabungan parti-parti politik menyokong kerajaan persekutuan pimpinan PH yang ditandatangani oleh Hajiji sebagai Pengerusi GRS semalam tidak sah dan tidak mewakili aspirasi Bersatu melalui GRS,” katanya lapor Malaysiakini.

Ronald dilantik sebagai ketua Bersatu Sabah 11 Dis lalu selepas Hajiji bersama Adun Sabah dan empat ahli parlimen Bersatu Sabah mengumumkan “keluar” Bersatu.

Empat ahli parlimen berkenaan bertanding di bawah tiket GRS, berbeza dengan Ronald yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, timbul pertikaian yang mendakwa empat ahli parlimen berkenaan – Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) – melanggar undang-undang antilompat parti.

Bagaimanapun, mereka kemudian mendakwa sudah menyertai GRS sebelum PRU lagi. GRS terdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai parti politik, meskipun merupakan gabungan.

Sementara itu, Ronald dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa Bersatu sebagai ahli gabungan GRS tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan yang memutuskan supaya GRS memasuki perjanjian persefahaman dengan gabungan-gabungan parti lain untuk membentuk kerajaan persekutuan yang diketuai oleh PH.

Semalam, lima gabungan parti politik utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani MOU di Putrajaya bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Perjanjian MOU itu hadir menjelang sidang parlimen 19 Dis ini, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berdepan undi percaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here