Adakah Anwar akan pecat Zahid jika bersalah? – Dr Afif

0
225

PEMIMPIN Bersatu, Dr Afif Bahardin hari ini mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memecat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jika timbalannya itu didapati bersalah bagi pertuduhan rasuah, berikutan kenyataan perdana menteri itu bahawa menteri akan dipecat jika didapati terlibat rasuah.

Afif yang merupakan timbalan ketua Bersatu Shah Alam turut berkata tindakan Anwar yang melantik Zahid ke jawatan nombor dua kerajaan dilihat bercanggah dengan pendiriannya berhubung rasuah, sedangkan presiden Umno itu masih berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah.

“Dakwaan Anwar bahawa beliau akan memecat menteri yang terpalit rasuah seakan satu percubaan untuk mengalihkan kebimbangan dan kemarahan orang ramai yang dikejutkan dengan pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri,” tambahnya.

“Jika Zahid disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah dalam kes yang sedang berjalan, adakah Anwar akan pecat beliau serta-merta? 

“Atau Anwar akan beri alasan Zahid boleh kekal sebagai timbalan perdana menteri sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?”

Pada 11 Disember, Anwar berkata sesiapa yang terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa akan disingkirkan dari Kabinet serta-merta.

“Saya kata ‘no corruption’. Saya bercakap dengan ketua parti komponen… kalau ada (rasuah) semasa pentadbiran saya, saya minta mereka dipecat serta-merta. Saya tak tolak ansur,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

Pada Oktober, Zahid, yang turut memegang portfolio kemajuan desa dan wilayah dalam Kabinet itu dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah dalam kes sistem visa luar negara.

Bagaimanapun, beliau masih menghadapi 47 pertuduhan lain berkait rasuah dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi.

Dalam kenyataannya hari ini, Afif turut bertanya sama ada Anwar akan memecat mana-mana menteri yang turut didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Jika jawapannya adalah ya, mengapa beliau melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri, yang sudah pun didakwa? Jika tidak, maka dakwaan Anwar bahawa beliau akan memecat menteri yang mempunyai kes rasuah adalah terbukti palsu,” katanya.

“Anwar mesti jelas dan terang mengenai perkara ini kerana beliau sudah pun melanggar janji tadbir urus yang baik dengan melantik Zahid yang menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here